Pembinaan Dan Pengisian

Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini memberi penekanan dalam aspek seperti berikut:
1) Sains – melalui ‘Program Pembangunan Bakat Saintis’
2) Ilmu Al-Quran – melalui ‘Program Pengukuhan Kemahiran Ilmu Al-Quran’
3) Sahsiah – melalui ‘Program Pembangunan Dan Pemantapan Sahsiah’


Pelajar yang akan dipilih untuk menyertai program ini adalah pelajar IMTIAZ menengah atas aliran sains yang memilih subjek seperti fizik, kimia, biologi, matematik tambahan, rekacipta,  English For Science & Technology atau subjek-subjek sains yang berkaitan sebagai subjek elektif.  Dalam menentukan bidang sains yang akan menjadi bidang pengajian mereka di peringkat lanjutan nanti, pelajar akan dinilai dan didedahkan terlebih dahulu dari segi minat, kecenderungan dan penguasaan mereka dalam subjek-subjek tertentu.
Bagi menjayakan Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini, ketiga-tiga komponen yang penting iaitu penekanan dalam aspek Sains, Ilmu Al-Quran dan Sahsiah diberi wajaran dalam pengisian program kecil dalam melahirkan Saintis Islam Anjung Ilmu ini iaitu Program Pembangunan Bakat Saintis, Program Pengukuhan Kemahiran Ilmu Al-Quran, dan Pemantapan Sahsiah.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT SAINTIS

Melalui program ini, potensi dan bakat pelajar dalam bidang sains dibangunkan dan diperkembangkan secara terancang dan sistematik. Program dilaksanakan dalam tiga aras pembangunan seperti berikut :

A)    Aras Pembangunan I
Pelajar diberi pendedahan kepada pelbagai disiplin, topik, isu, kerjaya, peristiwa dan persekitaran yang biasanya tidak diberikan di dalam kelas formal melalui aktiviti ceramah, dialog, lawatan, tayangan, pembacaan, penerokaan dan lain-lain. Pengalaman dan penemuan melalui penerokaan ini membantu pelajar mengenalpasti minat dan bidang untuk penerokaan dan penyelidikan selanjutnya (Aras Pembangunan III).

B)     Aras Pembangunan II
Kaedah berikutnya adalah aktiviti-aktiviti penerapan kemahiran dan emosi afektif (berkaitan perasaan, minat, sikap, dan nilai). Pelajar-pelajar diberikan kemahiran generik seperti proses pemikiran aras tinggi, cara belajar, membuat penyelidikan, komunikasi dan mendapatkan bahan. Kemahiran khusus seperti analisis statistik data diberikan sekiranya diperlukan oleh pelajar dalam penyelidikannya.  Oleh itu, pelajar akan lebih bersedia dan berkeyakinan untuk mendalami sesuatu bidang atau topik sains yang dipelajari.

C)     Aras Pembangunan III
Berdasarkan minat dan persoalan bersesuaian, pelajar menjalankan aktiviti penyiasatan/kajian dan penghasilan produk atau perkhidmatan yang ada impak ke atas audien sebenar. Pelajar akan diajar berfikir dan bertindak sebagai seorang saintis atau penyelidik profesional dan mengkaji suatu masalah atau topik sebenar menggunakan kaedah-kaedah yang autentik. Melalui aktiviti ini (Aras Pembangunan III), pelajar akan mempraktikkan kemahiran dan emosi afektif yang diterapkan dalam Aras Pembangunan II.

Pelbagai program pendidikan akan disusun bagi memastikan pelajar-pelajar yang terpilih untuk program ini menepati tahap piawaian yang ditetapkan. Kemudahan-kemudahan pembelajaran seperti kemudahan komputer, capaian internet, buku rujukan dan lain-lain lagi akan diselia oleh agensi-agensi yang akan dikenalpasti  bagi memastikan ianya memenuhi keperluan pelajar-pelajar ini. Selain itu, pelajar akan didedahkan dengan suasana kepakaran sebenar dan dilatih mendalami ilmu sains dengan lebih baik lagi melalui bimbingan agensi-agensi yang terlibat dalam program ini.
Pada masa ini, pelajar-pelajar yang dikenalpasti cemerlang dalam peringkat yang tertentu akan diberikan penghargaan dan insentif bagi tujuan penggalakan dan memberi motivasi kepada mereka agar terus konsisten dengan pencapaian dalam bidang sains yang mereka pelajari.


PROGRAM PENGUKUHAN KEMAHIRAN ILMU AL-QURAN

    Dalam Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini, pelajar diajar untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta memahaminya berdasarkan konsep baca, ingat, faham, fikir, amal dan sebar. Ini bagi menjadikan mereka seorang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, menjadi sumber rujukan serta menguasai pelbagai bidang ilmu Al-Quran selain ilmu sains, berkeupayaan memberikan pandangan dalam penyelesaian ummah, memaksimakan keupayaan berfikir, berfikiran kreatif dan inovatif serta berteknologi tinggi. Dalam usaha untuk mencapai matlamat bagi melahirkan  Saintis Islam Anjung Ilmu ini, ulama dan tokoh-tokoh silam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mempunyai asas-asas ilmu agama yang kukuh di samping menjadi tokoh perubatan, sains dan ilmuan ulung yang diiktiraf seantero dunia akan dijadikan sebagai panduan. Justeru itu, aktiviti penerapan budaya ilmu seperti membaca, memahami & menghayati Al-Quran & Sunnah akan diajar untuk tidak membataskan pembacaan kepada aspek akademik atau bidangnya semata-mata. Pelajar-pelajar juga digalakkan meluaskan pembacaan dalam bidang-bidang lain di samping dalam masa yang sama menghadiri majlis-majlis ilmu dengan berguru, menghadiri kuliah-kuliah dan kumpulan perbincangan. Selain daripada membaca, proses pencambahan minda boleh diperluaskan kepada diskusi terjemahan Al-Quran dan keterlibatan dalam bidang penulisan dalam bentuk rencana, artikel, dan pelbagai genre penulisan yang berkaitan Agama Islam. Penggunaan pelbagai media dan teknologi elektronik terkini seperti melayari internet dan berdiskusi maya yang akan dimanfaatkan secara positif sepenuhnya oleh pelajar-pelajar ini. Melalui Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini, program akademik seimbang akan disediakan bagi melahirkan ilmuwan yang berperanan sebagai ulama, umarak dan profesional Islam yang beramal dan bertakwa. Ini adalah penting untuk membangunkan ummah yang berilmu dan mengamalkan ajaran Islam berlandaskan akidah ahli sunnah wal jamaah.



PROGRAM PEMBANGUNAN DAN PEMANTAPAN SAHSIAH

    Bagi memantapkan dan mengukuhkan keperibadian pelajar-pelajar dalam Program Saintis Islam Anjung Ilmu ini, pelajar-pelajar yang terpilih mengikuti program ini juga akan didedahkan dengan aspek perkembangan dan pengukuhan sahsiah. Ia dibentuk untuk menyokong pendidikan efektif yang menekankan pengenalan diri sebagai sebahagian daripada individu masyarakat. Di samping itu, dalam pengisian Program Saintis Islam Anjung Ilmu Terengganu ini, pelajar akan didedahkan oleh agensi yang terlibat dengan suasana kemasyarakatan, ilmu seni kreatif, astronomi, bina insan, kajian luar, arkeologi muda, kembara, latihan asertif, di samping program-program pembangunan diri bagi memantapkan sahsiah mereka. Hal ini adalah penting bagi melahirkan lebih ramai saintis di kalangan warga Terengganu yang bukan sahaja seorang hafiz atau hafizah yang cerdik dan berperibadi mulia, bahkan mempunyai jati diri yang tinggi.
    Program Pembangunan Dan Pemantapan Sahsiah ini bakal memartabatkan ilmu Islam yang menjadi faktor penyumbang kepada memantapkan akhlak, sahsiah dan moral. Oleh itu, pengukuhan keilmuan & penghayatannya akan membawa kepada pembinaan Sahsiah Islamiyyah dan menjadikan mereka sebagai pemimpin dan individu Muslim yang mampu berfikir dengan tepat dan membuat keputusan dengan penuh pertimbangan. Pembinaan sahsiah ini harus meliputi dan sekali gus mengimbangi aspek rohani, jasmani dan akli menerusi amal yang berterusan. Di samping membina generasi yang memiliki daya ketahanan diri untuk menangani cabaran dan realiti semasa, ia bakal melahirkan generasi berilmu yang berupaya untuk berfikir secara kristis dan kreatif dalam pelbagai bidang ke arah pembangunan sejagat.

 
CARTA ALIR - PROGRAM SAINTIS ISLAM ANJUNG ILMU TERENGGANU

Pemilihan sebanyak 20 orang pelajar > Sesi temuduga pertama > Pemilihan 10 orang calon > Sesi temuduga kedua > Pemilihan 3 orang pelajar terbaik.